Friday, October 7, 2011

KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA



Belanjawan Kesejahteraan 2012 yang diluncurkan Pakatan Rakyat merupakan suatu permuafakatan merangka masa depan baru bagi Malaysia selari dengan pengikraran Agenda Bersama Disember 2009 dan Buku Jingga, Disember 2010.



Kesejahteraan Untuk Semua hanya boleh dicapai dengan iltizam politik untuk membawa reformasi secara menyeluruh terhadap institusi-institusi negara dengan berpandukan prinsip ketelusan dan tata kelola yang baik. Kepelbagaian Malaysia adalah kekuatan kita. Pertumbuhan ekonomi kita bergantung kepada muafakat rakyat tanpa mengira jantina, kaum dan agama.



Potensi rakyat boleh disemarakkan melalui sebuah belanjawan yang prihatin kepada kaum hawa dan berpaksikan agenda untuk mengembalikan maruah rakyat biasa yang kini bergelumang dengan segala keperitan hidup. Belanjawan Kesejahteraan 2012 mengambil kira keperluan mendesak membantu rakyat mengharungi arus kenaikan harga barang. Seluruh tumpuan diberikan untuk menjamin agar pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh semua golongan melalui dasar dan kerangka yang menekankan peningkatan pendapatan 60 peratus isi rumah di Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM 3,000 sebulan.



Pengenalan gaji minima, pengurangan jumlah pekerja asing tidak terlatih, tumpuan untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti secara bersepadu akan memberi faedah kepada tenaga kerja rakyat tempatan. Perhatian khusus adalah untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja agar gaji, kemahiran dan produktiviti juga dapat ditingkatkan.



Penambahbaikan keupayaan pengangkutan awam, penyediaan perumahan awam dan penjagaan kesihatan yang memuaskan akan meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat. Pendapatan boleh guna yang tinggi akan mengukuhkan perbelanjaan dalam negara dan menjadi strategi ekonomi yang lunak untuk mendindingi negara dalam persekitaran ekonomi global yang semakin tidak stabil.



Monopoli dan oligopoli yang dipecahkan akan meningkatkan persaingan serta membantu ahli perniagaan Malaysia dengan mengurangkan kos operasi dan perniagaan. Persaingan akan meredakan tekanan inflasi dengan memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat.



NEGARA KAYA, RAKYAT MISKIN?



Malaysia adalah negara yang kaya dengan sumber. Malangnya, lambakan kekayaan hasil dari sumber alam semula jadi tidak diagihkan dengan baik kepada rakyat Malaysia. Hasil kekayaan negara dipusatkan di kalangan beberapa kerat golongan elit berkepentingan hingga mewujudkan golongan mahakaya (super rich) di Malaysia.



Pada masa ini, rakyat tidak menikmati pendapatan yang berpadanan dengan hasil kekayaan negara dan tekanan kos sara hidup. Kumpulan terbawah meliputi 40% dari jumlah isi rumah di seluruh negara hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan, manakala kumpulan pertengahan 40% peratus seterusnya hanya menikmati pendapatan purata RM3,500 sebulan.



Secara keseluruhan, 80% isi rumah keluarga di Malaysia hanya menikmati pendapatan purata RM2,500 sebulan.



Di sebalik pelbagai kemajuan fizikal yang dilihat di Malaysia, 70% rakyat Malaysia hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kelayakan tertinggi. Lebih satu pertiga dari tenaga kerja rakyat Malaysia mencari rezeki dalam sektor tidak rasmi seperti menjaja, bekerja sendiri, buruh dan lain-lain. Maka tidak hairanlah jurang di antara yang miskin dan kaya di Malaysia adalah sangat tinggi bila mana kumpulan rakyat yang berada di bawah seramai 40% hanya menikmati 15% kekayaan negara, berbanding kumpulan 20 peratus terkaya yang menikmati sehingga 49% kekayaan negara.



Dek kegilaan pemerintah yang mengutamakan kekayaan dan kepentingan sekumpulan individu sahaja, dasar-dasar ekonomi Malaysia di bawah Barisan Nasional adalah ketinggalan zaman hingga memerangkap Malaysia dalam kelembapan ekonomi yang dialami sekarang.



Realiti ekonomi rakyat Malaysia adalah dikelilingi:



1.ketidakupayaan sekumpulan besar rakyat berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup

2.jumlah pengangguran di kalangan graduan tempatan yang tinggi sedangkan pada yang sama majikan merungut mengenai kekurangan tenaga kerja mahir dan berbakat

3.laungan Barisan Nasional untuk memotong subsidi kerana perbelanjaan subsidi telah melambung naik 10 kali ganda

4.pelaburan tempatan dan asing yang berkurangan menyebabkan Malaysia satu-satunya negara di ASEAN yang mengalami pengaliran keluar pelaburan asing (FDI) kasar

Kelemahan-kelemahan dalaman akibat kepincangan pentadbiran ini dirumitkan lagi oleh suasana ekonomi global yang terus tidak menentu. Keupayaan Amerika Syarikat dan Eropah untuk menjana pertumbuhan adalah terhad menjadikan pendekatan mengeksport ke negara-negara Barat bukan lagi jaminan pertumbuhan ekonomi untuk Asia. Malaysia perlu mencari jalan baru untuk berdikari dengan pasaran-pasaran baru dan dalam negara yang memberikan kelebihan daya saing kepada kita.





BELANJAWAN KESEJAHTERAAN 2012



Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012 menekankan pemerkasaan, mewujudkan peluang ekonomi dan mengembalikan maruah kepada seluruh rakyat Malaysia dengan berteraskan kerangka kewangan dan jaringan perlindungan yang mampan.



Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 menumpukan usaha untuk membangunkan rakyat Malaysia, bukannya projek mega. Ia bukan untuk kroni dan mereka yang berkepentingan tetapi demi memperkukuhkan daya keusahawanan, produktiviti dan budaya kerja yang baik.





PERBELANJAAN BERHEMAH



Pakatan Rakyat akan memperuntukkan sejumlah RM220 billion untuk Belanjawan 2012 dan akan memastikan dana tersebut dibelanjakan secara berhemah, bertanggungjawab dan berkesan. Defisit akan dikurangkan kepada 4.4% dari KDNK berbanding 6% yang diunjurkan bagi tahun 2011. Pengurang defisit ini bersamaan dengan penjimatan wang rakyat ssebanyak RM 14 billion.



Pendapatan negara boleh ditingkatkan tanpa membebankan rakyat dengan memastikan konsesi kerajaan dan permit tidak disalahguna dan dihargakan dengan betul. Sebagai contoh, kita akan memperolehi pendapatan tambahan sekitar RM1.2 billion melelong Permit Import (AP) kepada pembida tertinggi.



Langkah-langkah khusus akan dilaksanakan untuk memastikan dana dibelanjakan secara berhemah dengan memastikan tiadanya ketirisan, pembaziran dan ketidakcekapan. Kita yakin ini akan membawa 20% nilai tambah bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan.



Sebagai contoh, Pakatan Rakyat mampu untuk memperuntukkan RM 4.4 billion untuk:



1.Memperkukuhkan peningkatan mutu pendidikan dengan mengotakan janji di dalam Buku Jingga melalui pembayaran elaun khas pendidik sebanyak RM 500 sebulan

2.Memperkenalkan dan menguatkuasakan gaji minima sebanyak RM1,100 sebulan yang akan memberi keuntungan serta merta kepada 300,000 penjawat awam, seterusnya turut melonjakkan penjawat awam yang lain melalui pelarasan skala gaji penjawat awam

Pun begitu, demi menjamin kelangsungan Petronas untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa, satu formula dividen yang munasabah akan menggantikan amalan sekarang yang menyedut hasil kekayaan negara tanpa had melalui desakan dividen yang besar jumlahnya dari Petronas setiap tahun. Sungguh pun harga petroleum dijangka kekal tinggi dan keuntungan Petronas dalam tahun 2012 adalah berganda, dividen untuk 2012 dihadkan kepada RM 26 billion, lebih rendah berbanding jumlah yang diambil Barisan Nasional dalam tahun 2011 berjumlah RM 30 billion.





MENINGKATAN PENDAPATAN



Pakatan Rakyat akan mengutamakan inisiatif polisi untuk meningkatkan tahap pendapatan keluarga dan kemahiran tenaga kerja.



Gaji pekerja Malaysia adalah rendah. Kumpulan terbawah meliputi 40% isi rumah hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan dan gaji yang rendah ini menyebabkan:



1.Kecenderongan untuk bergantung kepada pekerja asing yang sanggup melakukan kerja-kerja tidak terlatih pada kadar upah yang cukup rendah

2.Kekurangan tenaga kerja terlatih

3.Syarikat swasta kekurangan tenaga kerja terlatih dan berbakat untuk meningkatkan produktiviti

Walaupun Pakatan Rakyat menyokong asas bahawa tahap gaji dan bayaran upah berhubung kait dengan kadar produktiviti, hakikatnya mekanisme penetapan gaji sedia ada tidak berfungsi sehingga menghasilkan herotan dalam pasaran tenaga kerja.



Oleh itu, Pakatan Rakyat mencadangkan:



1.Dasar gaji minima dikuatkuasakan mengikut undang-undang untuk memastikan semua pekerja di peringkat terendah mendapat gaji yang berpadanan dengan keperluan asas untuk hidup dan secara langsung melonjakkan gaji pekerja-pekerja lain melalui pelarasan tangga gaji

2.Peruntukan RM2 bilion sebagai Tabung Pemudahan (Facilitation Fund) untuk membantu usahawan, pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dan firma-firma kecil untuk memperbaharui peralatan, menjentera dan merubah operasi mereka untuk mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru bergaji tinggi

3.Peruntukan tambahan RM 1.6 bilion akan disalurkan untuk memperluas dan menambahbaik sistem latihan teknikal dan vokasional untuk mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja

4.10,000 orang guru akan dilatih dan RM200 juta akan diperuntukkan untuk mengatasi kekurangan guru-guru bahasa Cina, Inggeris, Tamil dan guru-guru agama dan tambahan RM200 juta akan diberikan dengan untuk membaiki bangunan-bangunan sekolah terutamanya SRJK (C), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan SRJK (T).

MENAMATKAN MONOPOLI



Pakatan Rakyat akan merintis era baru ekonomi rakyat dengan melaksanakan reformasi dasar-dasar dan peraturan-peraturan sedia ada untuk mengurangkan kos sara hidup, menggalakkan usahawan kecil dan sederhana (IKS) serta meningkatkan pelaburan.



Dasar tender terbuka untuk perolehan kerajaan yang memberi ganjaran kepada mereka yang berkebolehan, bukannya kroni dan kaum kerabat orang berkepentingan.



Ini akan diadakan selari dengan pengenalan langkah-langkah sokongan bagi membantu golongan Melayu/Bumiputra dan kumpulan lain yang layak menerima sokongan ekonomi. Langkah-langkah sokongan yang dirangka akan berteraskan objektif untuk menambah daya saing usahawan baru Melayu/Bumiputra dan kumpulan sasaran lain melalui pendidikan, latihan dan bantuan kewangan.



Satu Akta Kontrak Awam Tidak Adil akan digubal untuk mengkaji semula konsesi-konsesi dan perjanjian-perjanjian yang dikenalpasti sebagai tidak adil dan bertentangan dengan kepentingan umum.



Pakatan Rakyat juga akan mengembalikan kemuliaan perkhidmatan melalui peningkatan profesionalisme dan memberi ruang memainkan semula peranan terpenting dalam pentadbiran negara, agar penjawat awam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, tanpa mengira pangkat dan darjat.



Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan dibebaskan dari gangguan politik dan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan keutamaan perniagaan. Di masa hadapan, sasaran Pakatan Rakyat adalah untuk menyaksikan kemunculan gergasi GLC yang cemerlang dalam bidang masing-masing dan hanya GLC dalam sektor strategik sahaja akan dikekalkan.



Akta Persaingan 2010 akan diperluaskan kepada semua sektor ekonomi termasulah syarikat telekomunikasi, perkhidmatan televisyen berbayar dan sektor tenaga yang paling banyak menyaksikan herotan harga akibat monopoli.



Monopoli-monopoli berikut yang menghakis pendapatan boleh guna rakyat Malaysia dan mengakibatkan kos perniagaan yang tinggi akan distruktur semula dalam tahun 2012:



1.Memansuhkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk mengimport beras. Sebaliknya, lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif, terbuka dan telus

2.Telekom Malaysia (TM) akan diarahkan merombak model infrastruktur perkhidmatan internet jalur lebar untuk menggalakkan penyertaan penyedia perkhidmatan internet jalur lebar yang baru; seterusnya mengurangkan kos dan melonjakkan kadar penembusan internet jalur lebar melalui persaingan yang lebih dinamik

3.Kartel syarikat telekomunikasi akan dihapuskan

4.Kartel akhbar dan media akan dihapuskan

5.Kartel perkhidmatan penerbangan akan dihapuskan

6.Monopoli Astro ke atas perkhidmatan televisyen satelit siar terus berbayar akan dihapuskan

7.Lesen teksi akan diberi terus kepada para pemandu teksi



MEMPERTAHAN MARTABAT DI WAKTU SUSAH



Pakatan Rakyat peka dan prihatin dengan kesusahan rakyat yang bergelumang dengan kemelut kenaikan harga barang. Sebelum dasar-dasar jangka sederhana dan panjang bertujuan mengubah struktur gaji dan ekonomi rakyat berkesan, keperluan mendesak membantu rakyat dalam suasana ekonomi yang perit perlu diberi perhatian.



Oleh yang demikian, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan untuk membantu rakyat dalam tahun 2012:



1.Bonus RM1,000 setahun bagi setiap warga emas di Malaysia yang layak (berumur 60 tahun ke atas, pendapatan tahunan kurang dari RM18,000) melibatkan peruntukan RM1.7 bilion setahun

2.Bayaran RM1,000 dalam tahun 2012 untuk suri rumah yang layak (pendapatan isi rumah kurang dari RM18,000 setahun dan sekurang-kurangnya mempunyai seorang anak di bawah umur 18 tahun) melibatkan peruntukan RM2 bilion setahun

3.Menambah pendapatan isi rumah golongan miskin tegarkepada RM550 sebulan dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dengan menyelaraskan bayaran kebajikan terus yang dikelolakan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM550 sebulan

4.Elaun RM1,000 setahun bagi penjagaan anak berumur 12 tahun ke bawah bagi keluarga yang berpendapatan kurang dari RM1,000 sebulan dan penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak bertauliah melalui penyediaan pinjaman khas dan insentif cukai kepada pengusaha pusat dan majikan, bertujuan menggalakkan lebih ramai kaum wanita menyertai tenaga kerja dan meningkatkan peratusan penyertaan golongan wanita kepada 55% berbanding 46%.

Subsidi yang diperuntukkan untuk mengawal harga-harga barangan dan perkhidmatan akan dikekalkan pada jumlah RM22 bilion dalam tahun 2012 untuk mengekang kenaikan harga barangan keperluan. Dasar-dasar bersabit subsidi dan harga kawalan petrol akan dirombak seperti berikut:



1.Subsidi kepada badan-badan dan syarikat yang bersifat monopolistik akan dihentikan

2.Subsidi-subsidi umum akan distruktur semula untuk memastikan ia sampai terus kepada kumpulan-kumpulan sasaran yang memerlukan





MENGURANGKAN JURANG BANDAR-DESA



Pakatan Rakyat akan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia yang menetap di desa.



Pembangunan serantau dan luar bandar akan digalakkan melalui desentralisasi pentadbiran.



Monopoli import beras yang dipegang BERNAS akan dihapuskan. Lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif dan terbuka. Subsidi akan diberi terus kepada para petani melalui institusi-institusi pertanian.



RM 100 juta akan diperuntukkan kepada peniaga-peniaga kecil untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa.



MENINGKATKAN KUALITI KEHIDUPAN



Pakatan Rakyat akan meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik buat semua rakyat Malaysia.



Pasukan polis akan difokuskan semula kepada tugas utama mencegah jenayah dan meningkatkan keselamatan awam.



Dasar “Bina dan Jual” (“Build then Sell“) untuk projek perumahan kos rendah-sederhana akan dikuatkuasakan demi menjamin kepentingan pengguna. Peruntukan kos perumahan awam akan dinaikkan kepada RM1 bilion.



Dasar Pengangkutan Nasional akan diperkenalkan untuk memberi keutamaan kepada pengangkutan awam berasaskan prinsip “sistem pengakutan menggerakkan rakyat, bukan menambah kereta di jalanraya“. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pengangkutan.



Peningkatan penggunaan teknologi hijau untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih baik, cekap dan mendatangkan kebaikan kepada rakyat melalui penjimatan kos kemudahan awam asas dan lain-lain perbelanjaan isi rumah dan industri.



REFORMASI POLITIK



Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan amalan demokrasi berparlimen dan Persekutuan.



Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan prinsip dan pelaksanaan sistem persekutuan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dengan memberi perkongsian sumber yang lebih adil dengan negeri-negeri. Pakatan Rakyat juga akan memperkenalkan refomasi-reformasi berikut:



1.Memansuhkan semua perintah darurat dan menghapuskan semua undang-undang yang membabitkan penahanan tanpa bicara seperti yang terkandung di dalam Akta Pemansuhan Darurat yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat pada sesi Parlimen Mac 2011

2.Menstrukturkan semula Biro Pengaduan Awam menjadi sebuah institusi Ombudsman

3.Meletakkan beberapa institusi awam utama seperti Jabatan Audit Negara, Jabatan Perangkaan, Suruhanjaya Pelantikan Hakim, Suruhanjaya, Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan institusi Obudsman dibawah bidang kuasa Parlimen

4.Pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan penubuhan Majlis Media yang bebas untuk beralih kepada amalan kawalan sendiri oleh pengamal media

5.Memulihkan autonomi dan kebebasan ahli-ahli akademik universiti- univesiti di Malaysia dengan menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 serta membebaskan pelajar-pelajar daripadan cengkaman Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP). Kepimpinan universiti-universiti awam akan dipilih secara demokratik dan berdasarkan merit

6.Memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat di setiap peringkat kerajaan dengan dilengkapkan infrastruktur yang diperlukan untuk memastikan akses kepada maklumat berkepentingan awam, selain dari perkara-perkara yang benar-benar berkait dengan keselamatan negara

Pakatan Rakyat berjanji untuk memperkukuhkan Parlimen sebagai sebuah institusi dan menolak amalan Perdana Menteri yang mentadbir bak seorang raja dan diktator:



1.RM 10 bilion dari belanjawan Perdana Menteri yang selama ini digunakan dengan wewenang untuk memberi projek akan disalurkan kepada Kementerian-Kementerian berkenaan

2.Cadangan-cadangan perbelanjaan akan diteliti dengan rapi di peringkat jawatankuasa parlimen. Sebagai langkah pertama, tujuh Jawatankuasa Belanjawan Parlimen akan ditubuhkan untuk meneliti belanjawan-belanjawan kementerian lalu membolehkan debat dan penilaian yang lebih berkualiti

3.Ahli-ahli jawatankuasa dan Ahli-ahli Parlimen akan diberi peruntukan untuk menggaji pembantu penyelidik parlimen demi meningkatkan keberkesanan kajian belanjawan serta meneliti pelaksanaan dan hasil daripada perbelanjaan kerajaan

ANAK MUDA MENDEPANI PERUBAHAN



Satu kajian semula dan siasatan yang menyeluruh ke atas perbelanjaan dan struktur kurikulum Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dibuat dengan tujuan menggantikannya dengan program-program luar kurikulum atau program komuniti yang lebih bermanfaat dan membina kemahiran peribadi. RM747 juta yang diperuntukkan kepada PLKN tahun lepas akan disalurkan kepada inisiatif terbaru ini.



Sejumlah RM100 juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda yang memberi peluang kepada anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun menjalankan projek-projek dan program-program pilihan mereka yang bersifat awam dan membawa kebaikan melalui sistem undian.



RM50 juta akan diperuntukkan kepada sebuah dana khas untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam aktiviti-aktiviti berdasar kreativiti dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah dan rekreasi khusus untuk anak muda.



KESEJAHTERAAN RAKYAT, KESEJAHTERAAN BERSAMA



Pakatan Rakyat tidak mungkin akan berjaya melaksanakan dasar-dasar yang mustahak dan bakal merubah wajah negara ini dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan.



Rakyat Malaysia, sebagai majikan, pekerja, suri rumah, pengasuh, mahasiswa dan sebagai warga negara wajar memainkan peranan secara individu dan kolektif untuk menjayakan agenda yang berani ini demi menuju masa depan yang lebih cerah buat semua.



Muatturun versi PDF untuk cetakan:



RINGKASAN BELANJAWAN PAKATAN RAKYAT 2012

0 comments:

Post a Comment

Peluang Keemasan




-Tak Perlu Beli Stok


-Tak Perlu Belian Maintain


-Komisyen Tinggi


-Masa kerja Fleksible


-Pelbagai Bonus/ Insentif