LAPORAN LANGSUNG
12.44pm: Laman The Philippine
Inquirer menyiarkan laporan mendakwa Askar Diraja Sulu tidak bercadang
untuk menyerah walau digempur pasukan keselamatan Malaysia.
Laporan
itu menyebut, jurucakap kesultanan Sulu Abraham Idjirani memberitahu
satu stesen radio bahawa kumpulan itu akan terus berjuang sehingga ke
titisan darah terakhir.
Idjirani yang memetik Azzimudie Kiram
mendakwa bom yang dilepaskan jet Malaysia jatuh ke kawasan berkenan
tetapi tidak mengenai kumpulan bersenjata Sulu.
InterAksyon.com juga menerbitkan laporan sama pada jam 10.46 pagi ini.
"Tidak.
Tidak menyerah," kata Idjirani, yang menambah Azzimudie dalam perbualan
terakhir mereka melalui telefon memberitahunya bahawa mereka akan
berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.
Laporan itu tidak menyatakan masa panggilan telefon itu dibuat.
11.54am: Ketua
polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata operasi bersama antara polis
dan tentera masih menerima tentangan musuh yang melepaskan tembakan ke
arah pasukan keselamatan negara.
Pasukan
Malaysia kini menjalankan operasi 'mopping up'. Tiada korban di pihak
kita direkodkan setakat ini namun di pihak musuh masih belum diketahui.
Ismail meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi mengenai jumlah kemalangan kerana akan menjejaskan Ops Sulu ini.
Katanya, operasi ini hanya difokuskan di Kampung Tanduo.
11.50pm: Seorang
wartawan ABN-CBS memuatkan gambar penunjuk perasaan membakar gambar
menunjukkan Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan presiden negara
itu, Benigno Aquino.
Kumpulan berkenaan berbuat demikian dalam perhimpunan di luar kedutaan Malaysia di Filipina.
11.35am: The Star yang memetik sumber polis melaporkan, kumpulan penceroboh bersenja di Kampung Tanduo berjaya ditewaskan sepenuhnya.
Ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa pasukan kita, lapor laman itu.
1125am: Satu-satunya
stesen minyak di kawasan Felda Sabahabt kehabisan petrol. Kawasan itu
terletak kira-kira 15km dari Kampung Tanduo yang menjadi medan
pertempuran.
11.10am: Bercakap dalam satu akhbar, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata operasi masih berjalan dan pihak keselamatan yang
terdiri
daripada anggota PDRM dan tentera mendapat tentangan dalam bentuk
beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh pihak musuh.
Katanya, ketika ini pasukan keselamatan sedang menjalankan pengeledahan terhadap beberapa buah rumah di kampung tersebut.
Ketika
sidang akhbar itu diadakan, beliau berkata, setakat ini tidak ada
kehilangan nyawa di pihak keselamatan di pihak PDRM dan tentera.
11.02am: Pekerja
ladang kelapa sawit dilihat berkumpul di bawah satu pondok sementara.
Mereka diminta menangguhkan tugas sementara polis memperluaskan kawalan
di sekeliling ladang tersebut yang terletak hampir dengan kawasan
pertempuran
Turut bersama pekerja tersebut ialah seorang penduduk, Sabri Abdullah, 49, yang tidak dapat pulang disebabkan kawalan polis.
"Saya menunggu untuk pulang sejak pagi ini. Saya lapar dan tidak ada makanan," katanya kepada Malaysiakini.
Tambahnya, mereka orang miskin dan tidak mempunyai wang dan terpaksa menyediakan makanan sendiri.
11am: Datuk
Seri Najib Razak berkata operasi besar-besaran hari ini bermula dengan
serangan udara menggunakan pesawat TUDM, serangan mortar dan diikuti
serangan oleh pasukan tentera darat dan polis.
"Kita
bermula dengan serangan udara melalui pesawat TUDM diikuti dengan
kekuatan mortar dan pada saat saya sedang berucap ini, pasukan tentera
darat dan anggota polis, dalam kereta dengan anggota yang mengikuti
dibelakang sedang melakukan tindakan untuk memberkas, menumpas pasukan
yang telah melanggar kedaulatan negara,"katanya.
Menurutnya,
tindak tanduk "yang berhemah" tersebut, pada awalnya tidak ada niat lain
melainkan untuk tidak membenarkan setitik darah tertumpah di bumi
Sabah, sama ada rakyat Malaysia atau kumpulan yang menceroboh.
"Namun
umat dukacita, niat murni kita telah dibalas dengan tembakan dengan
sangat kejam yang dilakukan kepada pasukan polis kita," katanya dalam
satu majlis di Bukit Jalil.
Beliau juga menyelar
golongan yang tergamak mengatakan bahawa kejadian pencerobohan oleh
kumpulan bersenjata di Lahad Datu sebagai “sandiwara”.
Tanpa
menamakan individu berkenaan, Najib berkata tindakan itu merupakan
"perbuatan yang keji" oleh orang yang “tak ada isi perut”.
"Ada orang yang tergamak bahawa ini satu sandiwara. Saya tak tahu nak kata apa kepada manusia yang tergamak cakap begitu.
"Tak ada isi perut. Ini satu perbuatan yang keji... Kita perlu tolak orang seperti ini," kata Najib
10.57am: Polis memperluaskan kawalan dari kawasan konflik ke kawasan luar dan menutup semua pintu masuk ke Kampung Tanduo.
Anggota
polis dengan raifal dilihat mengambil kedudukan di kawasan ladang sawit
sebagai persediaan untuk menghadapi penceroboh yang lolos.
10.45am: Media
Filipina melaporkan jurucakap presiden negara itu Benigno Aquino
berkata Manila melakukan apa yang termampu untuk mengelakkan situasi di
Sabah berakhir dengan keganasan.
“Kami melakukan semua yang kami
mampu untuk mengelakkannya, namun akhirnya orang (Jamalul) Kiram memilih
jalan ini,” kata Setiausaha Ricky Carandang.
10.43am: Kedutaan
Filipina di Kuala Lumpur mendedahkan satu pertemuan diadakan pada malam
tadi di antara setiausaha luar negaranya Albert F del Rosario, menteri
luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dan menteri pertahanan Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi.
Pertemuan di Kuala Lumpur itu bagi membincangkan langkah untuk penyelesaian aman berhubung situasi di Lahad Datu.
10.17am: Memetik laporan dari ANC News Channel,
InterAksyon.com melaporkan bahawa bom telah digugurkan kira-kira satu
kilometer jauhnya dari kubu Azzimudie Kiram dan orang-orangnya.
Azzimudie
berkata pihaknya tidak pasti sama ada bom tersebut mensasarkan mereka
atau pengikut mereka, tetapi mereka kekal selamat dan bersedia untuk
bertempur.
Sementara itu di Manila, sekumpulan penunjuk perasaan tiba di kedutaan Malaysia untuk mengutuk serangan itu.
10.15am:
Azzimudie Kiram, pemimpin penceroboh, meluahkan kemarahannya terhadap
kerajaan Filipina, dalam temubual radio dengan InterAksyon.com - portal
berita dalam talian saluran TV Filipina TV5.
"Kerajaan
mengarahkan penangkapan sahabat kita walaupun kita tidak melakukan
apa-apa yang buruk," katanya. "Ia seperti kita bulan rakyat Filipina."
Sementara
itu, Abraham Idjarani, jurucakap kesultanan, memberitahu stesen radio
dzBB bahawa Azzimudie telah menelefon untuk memberitahu mereka tentang
serangan tersebut.
"Tidak ada apa yang dapat dilakukan tentang itu sekarang," kata Idjirani dalam satu wawancara berasingan dengan AFP.
Beliau mengulangi pengumuman awal Azzimudie bahawa mereka akan berjuang hingga ke akhir ayat.
"Kami bukan penceroboh. Mereka (rakyat Malaysia) adalah orang yang menduduki tanah nenek moyang kami," katanya.
10.09am: Pihak
polis telah menubuhkan pusat pemeriksaan di jalan utama di Tanjung
Labian, iaitu kira-kira 5km dari medan pertempuran. Tiada siapa
dibenarkan masuk ke kawasan itu.
Bunyi letupan telah berhenti sejak sejam yang lalu. Tidak jelas sama ada tentera darat telah dikerah masuk ke Kampung Tanduo.
10.05am:
Di Manila, pasukan polis dan wartawan berkumpul di luar kedutaan
Malaysia. Mereka menjangka satu kumpulan penunjuk perasaan akan tiba di
sana.
9.55am: Azzimudie
Kiram mengesah dalam temubual dengan radio dzMM ABS-CBN bahawa pasukan
Malaysia menggunakan jet pejuang dalam serangan terbaru itu ke atas
kedudukan mereka di Lahad Datu.
Pemimpin tentera diraja itu juga
melahirkan kekecewaan terhadap pendirian Presiden Filipina Benigno
Aquino berhubung krisis tersebut.
Beliau berkata kerajaan
Malaysia dan Filipina jelas telah berhenti mendengar gesaan mereka untuk
menyelesaikan krisis tersebut secara aman.
9.45am: Menurut
ABS-CBNnews, sebelum serangan, pagi ini Azzimudie Kiram, yang mengetuai
kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, memberitahu radio dzMM bahawa
dia tidak risau dengan rancangan kerajaan Malaysia untuk membawa lebih
ramai tentera ke Sabah untuk membanteras mereka.
Azzimudie
berkata dia dan tenteranya akan tidak akan berganjak walaupun kerajaan
Malaysia dan Filipina telah berulangkali menggesa mereka supaya
menamatkan pencerobohan tersebut.
"Ini adalah masa. Kami perlu
komited untuk memperjuangkan hak kami. Saya meminta mereka (Filipina)
melakukan sesuatu untuk menyokong kami.
"Mereka tidak boleh
menakutkan kami kerana kami berjuang untuk hak kita - hak Bangsa Sulu
dan secara umum, rakyat Filipina. Iaitu, jika kerajaan Filipina masih
menganggap kami adalah rakyat Filipina," katanya.
9.41am:
Stesen radio Filipina dzBB melaporkan bahawa Abraham Idjarani,
jurucakap kesultanan Sulu, berkata Azzimudie Kiram, adik sultan yang
mengetuai pencerobohan itu, mengesahkan jet pejuang telah menggugurkan
sekurang-kurangnya dua butir bom.
Bagaimanapun, Idjirani mendakwa bom mengenai kedudukan penduduk Malaysia dan bukan kumpulan Azzimudie.
Stesen radio itu juga berkata pertempuran itu berlaku 107 tahun selepas bermulanya Perang Bud Dajo di Sula pada 1906 .
Dalam
pertempuran itu 1,000 Tausug, termasuk wanita dan kanak-kanak, telah
dibunuh oleh tentera Amerika juga dikendali sebagai Pembunuhan Bud Dajo.
9.37am: Menurut sati sumber tentera, operasi yang terlibat jet pejuang, meriam serta askar berjalan kaki.
9.15am:
Di bandar Lahad Datu, kira-kira 120km dari medan pertempuran,
persediaan sedang dibuat di hospital utama bagi menerima mangsa serangan
tersebut.
9.11am: Difahamkan tujuh batalion tentera dikerahkan ke kawasan tersebut untuk mengukuhkan pasukan polis.
8.54am: Seorang
pegawai Felda tiba dan memberitahu ketua kampung untuk membuat kiraan
jumlah penduduk dan mendaftarkan mereka. Seluruh penduduk kampung
sekitar 300 orang beredar dari tempat itu menuju ke jalan kebun kelapa
sawit.
8.45am:
Penduduk Kampung Sungai Merah meninggalkan kediaman mereka dengan
menaiki lori, dengan hampir seratus orang memenuhi setiap kenderaan.
Ketua kampung, Bani Rauf berkata mereka telah cuba ke Kampung Embara Budi tetapi tidak dibenarkan masuk.
"Pengawal kata mereka tidak akan benarkan kami masuk, jadi kami datang ke sini," katanya.
Mereka berhimpun di di jalan utama dari Kampung Tandou menunggu apa yang perlu dilakukan selepas ini.
8.19am Pasukan
keselamatan telah melancarkan serangan ke atas kumpulan penceroboh
bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada jam 7 pagi ini, kata
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari
ini.
8:18am: Letupan
kedengaran berhampiran Kampung Tandou yang diduduki sekumpulan
penceroboh asing, pada kira-kira jam 7:30 pagi ini, menyebabkan 100
penduduk kampung melarikan diri.
"Mereka telah mula mengebom
kawasan itu. Kami nampak jet pejuang di udara, mereka mengebom tempat
itu empat kali," kata seorang penduduk kampung, Nasir Asrama, 38.
Penduduk
kampung tersebut adalah dari Kampung Sungai Merah, sebuah kampung jiran
dengan Kampung Tandou di mana kira-kira 100 penceroboh bersenjara dari
Filipina berkubu.
Kampung Tandou terletak di antara Tanjung Labian dan Kampung Sungai Merah, masing-masing dalam 5km dan 2km.