Haiwan Korban,ternakan Rela disembelih tak perlu diikat atau dipegang! hanya dibaca doa..yang penting jaga adab sebelihan dan doa serta hubungan dengan Allah, Jom lihat caranya: http://on.fb.me/XuStqE
--------------
AMALAN DAN KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH
Tuesday, October 23, 2012
Balliq ilm
.... السلام عليكم
Bulan Zulhijjah menjengah lagi. Mungkin tak ramai di kalangan kita yang menyedari kelebihan bulan Zulhijjah, terutama 10 hari yang pertama. Zulhijjah adalah salah satu dari bulan-bulan haram. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan dalam ketetapan Allah apabila menciptakan langit dan bumi. Di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu." (al-Taubah:36)
Empat bulan haram itu adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Bulan-bulan haram ini memiliki keistimewaannya berbanding bulan-bulan lain, iaitu pahala dan dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini akan digandakan balasannya.
Kita kini memasuki 1 Zulhijjah 1433H, bulan mulia yang banyak kelebihannya. Bulan Zulhijjah merupakan kemuncak bulan-bulan haram. Dan kemuncak Zulhijjah terdapat pada 10 harinya yang pertama yang di dalamnya banyak kemuliaan dan keutamaan. Hari-hari tersebut disediakan oleh Allah sebagai musim ketaatan dan kesempatan beramal soleh.
Maka seorang Muslim wajarlah ia memperhatikan hikmah yang terkandung dalam bulan tersebut, memanfaatkannya dengan melaksanakan pelbagai ibadah yang disyariatkan, menjaga perkataan dan amal yang soleh agar hatinya menjadi dekat kepada Allah Taala di mana hal tersebut dapat membantunya dalam menghadapi kehidupan ini dengan jiwa besar dan semangat yang berkobar. 10 hari pertama di bulan Zulhijjah merupakan hari-hari yang sangat mulia dan penuh barakah.
AMALAN-AMALAN BAIK YANG DIANJURKAN PADANYA.
1 SOLAT, HAJI dan UMRAH. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan. Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu." [HR Muslim]. Ini umum untuk semua waktu.
Menunaikan ibadah haji dan umrah merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya, Sabda Nabi SAW : "Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga".
2 PUASA. Disunatkan berpuasa sejak hari pertama hingga ke-9 Zulhijjah. Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” [HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei]
Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.
3 TAKBIR, TAHLIL dan TAHMID. Rasulullah SAW juga memerintahkan untuk memperbanyakkan tasbih, tahmid, dan takbir pada sepuluh hari tersebut. Ini kerana hadis Ibnu Umar mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”
Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”
Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”
Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.
Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
((مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ، وَلا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ))
[رواه أحمد 5446-صحيح]
Maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
Adalah Said bin Jubir RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. [HR Ad-Darimi- Hasan].
Adalah patut sekali para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti orang-orang soleh yang terdahulu.
Antara lafaz-lafaz takbir yang diriwayatkan oleh para sahabat dan tabiin:
الله أَكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر كَبِيْراً
الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إِلا الله وَالله أكْبَر.
الله أكْبَر. وَلِلّهِ الْحَمْد.
الله أكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر.
لا إِلهَ إلا الله وَالله أكْبَر.
الله أكْبَر. الله أكْبَر . وَلله الْحَمْد.
4 PUASA PADA HARI ARAFAH. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah SAW.Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.
((صِيَامُ
يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي
قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ)) [رواه مسلم]
Maksudnya: “Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” [HR Muslim].
Berpuasa pada hari Arafah itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut.
Walau bagaimanapun puasa ini hanyalah disunatkan untuk orang yang TIDAK mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.
5 MEMPERBANYAKKAN AMALAN soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pahalanya pada hari-hari tersebut.
Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hamba-Nya melakukan perkara yang ditegah-Nya." (Muttafaq ‘alaihi).
Sebuah amalan kecil yang dilakukan pada saat-saat tertentu boleh menjadi lebih baik daripada amalan besar yang dilakukan pada saat-saat lain.
6 Disyariaatkan IBADAH QURBAN (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ibadat qurban ini adalah sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail AS kerana taat akan perintah ALLAH SWT. Namun begitu berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini kepada kehendak ALLAH SWT maka ketika Nabi Ibrahim ingin menyembelih anaknya itu, ALLAH gantikannya dengan seekor kibas.
Daripada Aisyah RA Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud: "Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu." (Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Zaid bin Arqam berkata: "Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: "Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim." Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan." Mereka bertanya: "maka bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud "Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah RA bahawa Nabi SAW bersabda : "Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berqurban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya",
Bagi sesiapa yang berniat melaksanakan ibadah qurban, maka disunatkan baginya untuk tidak memotong kuku dan bulu di tubuhnya hingga ia menyembelih haiwan qurbannya. Menurut ulama, anjuran itu bertujuan agar seluruh bahagian tubuhnya (termasuk kuku dan bulunya) bebas dari api neraka apabila Allah mengampuni dosanya ketika pertama kali darah haiwan qurban menitis ke tanah. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan qurban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
7 KELEBIHAN HARI RAYA QURBAN (YAUM AN-NAHR), 10 ZULHIJJAH. Kebanyakan orang Islam lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelusuk dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal di dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.
Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari kesebelas Zulhijjah).
Setengah ulama lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan.
Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.
Samada hari Nahr atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.
Disyariaatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.
Kesimpulan:
Disunatkan berpuasa selama 9 hari dari 1 hingga 9 Zulhijjah, jika tidak mampu puasalah berapa hari yg mampu, atau paling kurang pada hari ke 9. Jika tidak mampu melakukan semua, janganlah tinggalkan semua. Begitu juga dengan amalan-amalan lain yang dianjurkan di atas.
Ibadah solat, puasa dan zikir yang dilakukan pada 10 hari awal Zulhijjah ini ganjaran pahalanya boleh melebihi amalan jihad yang dilakukan pada hari-hari yang lain. Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
Sesungguhnya siapa yang mendapatkan sepuluh hari bulan Zulhijjah merupakan bahagian dari nikmat Allah yang besar atasnya. Hanya orang-orang soleh yang bersegera kepada kebaikan segera untuk menghormatinya dengan semestinya. Dan kewajiban seorang Muslim adalah merasakan nikmat ini, memanfaatkan kesempatan emas ini dengan memberikan perhatian yang lebih, dan menundukkan dirinya menjalankan ketaatan. Sesungguhnya di antara kurnia Allah Taala atas hamba-Nya adalah menyediakan banyak jalan berbuat baik dan meragamkan kepelbagaian bentuk ketaatan agar semangat seorang Muslim sentiasa berpegang teguh di atas jalan-Nya, tetap istiqamah menjalankan ibadah kepada Allah.
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita dipilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Sekian, wassalam.
*http://seleraputeri.blogspot.com*